Jul 29, 2010

Lagu dan Irama Bahagian II

Namun, beberapa minggu yang lalu, saya terdengar di corong radio bahawa terdapat usaha untuk mengekalkan budaya lagu-lagu irama Melayu ini dengan mengadakan peraduan pengolahan semula untuk memberi nafas baru kepada lagu itu tanpa menghapuskan nilai-nilai tradisi lagu itu. Lagu-lagu klasik yang dikemaskini itu dipersembahkan oleh penyanyi-penyanyi tempatan kita semasa acara Rentak Singapura 2010 anjuran Warna dan Ria.

Pertandingan-pertandingan menulis lirik dan mencipta lagu berdasarkan lenggok lagu keroncong ataupun teknik-teknik penggubahan lagu irama Melayu yang lain boleh di peringkat sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi agar lebih banyak pendedahan dapat diberi kepada lagu lama pusaka bangsa kita!

Engkau Laksana Bulan: Versi P.Ramlee



Engkau Laksana Bulan: Sheila Majid

Lagu dan Irama Bahagian I

Salam Persahabatan!

Setiap kali saya mendengar lagu-lagu klasik bercorak dondang sayang atau berirama Melayu, ada sahaja mereka yang memerli saya dan katakan saya juga 'seklasik' lagu-lagu itu. Lagu-lagu lama Melayu ini mencerminkan kesopanan tradisi kita yang menitikberatkan tentang tertib dan kelembutan serta kehalusan tatabicara. Justeru itu, disebabkan dengan tarikan lagu-lagu bercorak keberatan yang lebih rancak dan menepati citarasa pemuda-pemudi masa kini, maka itu sukar bagi lagu-lagu Melayu klasik ini mendapat tempat di kuping-kuping telinga mereka.

Bersambung....

Jul 26, 2010

Pantun Kita Bahagian II

Guru-guru di sekolah-sekolah rendah dan menengah juga perlu memainkan peranan dengan sering menyertakan unsur-unsur pantun dalam pengajaran mereka. Ini bagi memupuk semangat cintakan bahasa dan budaya Melayu. Saya rasa bagi meningkatkan lagi mutu dan minat terhadap bahasa Melayu, perlu diperuntukkan satu bahagian bagi pantun serta prosa-prosa Melayu yang lain seperti sajak dalam ujian-ujian sekolah di peringkat sekolah rendah. Kata orang, melentur buluh biar dari rebungnya.

Ada benarnya usulan Cikgu Ariff Ahmad untuk memperluaskan lagi amalan berpantun di peringkat kanak-kanak lagi kerana pantun melayu penuh adat dan keunikannya, setaraf dengan budaya penulisan bangsa lain seperti haiku milik orang Jepun.

Saya akhiri dengan lagu berunsurkan pantun kegemaran saya.

Pantun Kita Bahagian I

Apa ada pada lagu,
Kalau bukan iramanya,
Apa dia bangsa Melayu,
Kalau bukan budayanya.

Salam Sejahtera!

Beberapa minggu yang lalu, saya ada terdengar pendita kita, Cikgu Muhammad Ariff Ahmad, berkata dalam suatu simposium bahasa bagi guru-guru Melayu Singapura yang disiarkan berita Suria mengatakan perlunya kita melestarikan pantun-pantun Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah agar tidak terhakis nilai budayanya. Jelasnya lagi, ini bagi menarik lebih banyak minat daripada pelajar-pelajar yang belajar bahasa Melayu walaupun mereka bukan berbangsa Melayu.


Saya amati usulan pendita kita itu dan mendapati bahawa perlunya kita melestarikan budaya berpantun masyarakat Melayu kita kerana ia mencerminkan keunikan budaya bahasa kita yang membezakan budaya Melayu daripada budaya masyarakat etnik yang lain.

Lantaran itu, pelbagai usaha perlu diperhebatkan agar budaya berpantun orang Melayu tidak pupus dek ditelan masa. Peraduan-peraduan mencipta pantun dan berbalas pantun telah pun diadakan setiap tahun oleh institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Pesta Pantun yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Dan Budaya Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS). Pertandingan-pertandingan sedemikian rupa perlu diperluaskan lagi dan melibatkan lebih ramai lagi pelajar-pelajar serta para karyawan.

Bersambung...

Jul 20, 2010

Lambat Bahagian II

Kan dah kata, Masa itu adalah emas. Oleh itu, budaya 'LAMBAT' orang kita ini perlu diperbaiki kerana ia amatlah merugikan bangsa kita. Ia juga tidak menunjukkan sikap bertanggungjawab orang Melayu yang tidak dapat menepati janji masa dengan pihak lain. Ini tidak bermakna bangsa lain tidak mengalami budaya sedemikian tetapi pada pengamatan saya, orang kita, bangsa Melayu seperti menerima budaya 'LAMBAT' ini sebagai sesuatu yang lumrah. Walaupun bukan pisang setandan, busuk semuanya, saya khuatir jika kita tidak menegur tentang sikap sedemikian rupa, ia akan menjejas imej daya saing masyarakat Melayu kita. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Oleh itu, setiap kali kita rasakan tiada masalah tiba lewat ke sesuatu majlis, fikirkan semula. Hanya kita yang mampu merubah tanggapan masyarakat lain terhadap masyarakat kita yang masyhur dengan adat dan budayanya yang mencerminkan nilai-nilai positif.

Kayu senduk kayu jati,
Mari letak atas permatang;
Nasi sejuk sudah basi,
Nantikan puan lambat datang.
-Kurik Kundi Merah Saga

....tunggu punya tunggu punya tunggu...bulan tak timbul-timbul.
-Seniman Bujang Lapok

Lambat Bahagian I


"Alah, Melayu biasalah," keluh Si Eton sambil menunggu temannya si Ali yang tak muncul-muncul bagi sebuah majlis Bulan Bahasa yang lalu.


Salam Sejahtera!

Seringkali saya terdengar keluhan beberapa orang kita tentang kebiasaan Orang Melayu yang selalu tiba lewat ke majlis-majlis keramaian walaupun telah diberitahu tentang masanya. Tak orang tak kita. Saya juga kadangkala pernah terlewat sampai. Adakah ini suatu kebiasaan yang telah menjadi perwatakan bangsa kita hingga berubah menjadi satu stereotaip terhadap bangsa kita sendiri.

Bersambung....

Jul 8, 2010

Menggayakan Budaya Bahagian I


Kerana mata cinta berputik,

Bicaranya sopan idaman hati;

Kemas bergaya kebaya cantik,

Berseri dengan budi pekerti.


Salam sejahtera!

Buat entri blog kali ini, saya ingin menyentuh pula tentang sesuatu yang saya minati. Dunia Busana Melayu! Tidak semestinya kaum hawa sahaja yang perlu mengambil tahu tentang perkembangan busana Melayu masa kini. Seringkali, apabila saya mengenakan Baju Melayu, ada sahaja ahli keluarga saya yang mengusik dan bertanyakan sama ada saya akan ke perjumpaan Hari Raya! Apakah busana Melayu, terutamanya baju melayu atau baju kurung, hanya sesuai untuk acara-acara melibatkan komuniti Melayu dan Hari Raya sahaja?

Gambar Hiasan

Sumber: http://muhasabahtrading.com/store/index.php?main_page=product_info&cPath=1&products_id=1

Diburukkan lagi, adakalanya orang kita sendiri yang tidak menghargai busana warisan bangsa yang kaya dengan nilai kesenian dan kecantikan. Ada pula yang mengatakan dalam konteks Singapura yang serba moden ini, busana tradisi bangsa Melayu seperti baju Melayu atau baju kurung tidak setanding dari segi nilai keprofesionalannya berbanding busana kebaratan. Tak kena gaya kata mereka.

Justeru itu, apakah yang dapat kita lakukan untuk membudayakan busana Melayu agar masyarakat muda berbangsa Melayu kita tidak berasa canggung apabila mengenakannya? Saya berpendapat bahawa usaha untuk menggabungkan unsur-unsur kemodenan atau corak-corak busana bangsa lain perlu diperhebatkan supaya dapat memberi nafas baru kepada busana Melayu agar ia kekal relevan dan menangkap perhatian anak-anak muda yang sering menginginkan kelainan. Usaha sedemikian pernah diadakan oleh pelajar-pelajar Melayu dari Universiti Pengurusan Singapura dengan kerjasama Kolej Seni La Salle di mana busana Melayu digabungkan dengan unsur-unsur kemodenan pada tahun 2008.

Namun demikian, ada pula yang melihat usaha sedemikian bagai menggadai keaslian busana Melayu itu.

Saya tidak bersependapat. Pada era globalisasi dewasa ini, penggabungan dan percampuran antara budaya tidak dapat dielakkan jika kita mahu terus kekal relevan. Fenomena ini tidak hanya melibatkan busana Melayu malah banyak lagi komponen budaya lain seperti masakan dan lagu-lagu Melayu kita.

Bersambung....

Menggayakan Budaya Bahagian II

Lihat sahaja lagu tema Bulan Bahasa tahun ini yang diolah kembali oleh penyanyi muda, Taufik Batisah. Ia diberi nafas baru dengan ditambah teknik-teknik pengolahan lagu yang moden agar lebih dinamik dan cocok dengan selera anak muda masa kini. Nilai ketimuran dan mesej lagu itu tetap kekal.

Dengan itu, saya pasti dan berharap pereka-pereka fesyen muda Melayu kita dapat berusaha untuk memelihara warisan budaya Melayu kita ini dengan menggunakan kreativiti mereka untuk memastikan busana Melayu kita terus kekal relevan. Pada peringkat individu pula, kita pula janganlah segan mengenakan busana Melayu yang penuh nilai keseniannya. Usahlah kita memerli, malah kita patut bangga dengan setiap usaha untuk mengenakan busana Melayu agar ia terus diingati sepanjang zaman.

- BUMI AMAN -

Jul 4, 2010

Kecil-kecil Cili Padi

Harum sungguh si Bunga Tanjung,
Kembang segar di halaman,
Bahasa kujunjung budaya kusanjung
Agar mekar sepanjang zaman.

Salam ukhwah!

Dewasa ini, saya rasakan bahawa ramai anak muda yang kurang mendalami nilai sebenar budaya bangsa Melayu. Tak orang tak kita. Saya sendiri kadangkala lebih mengetahui tentang budaya bangsa lain terutamanya budaya Barat daripada budaya saya sendiri. Maklumlah, kini kita lebih terdedah kepada pengaruh daripada media-media barat yang menonjolkan budaya mereka.

Oleh itu, usaha gigih untuk melestarikan budaya Melayu perlu ditabik, terutama sekali pada masyarakat muda bangsa Melayu di Singapura ini. Tidak mudah untuk mendapatkan perhatian dan penyertaan mereka dalam kegiatan-kegiatan bercorak kebudayaan. Selama perjalanan saya bersama pertubuhan-pertubuhan bahasa dan budaya Melayu, saya telah menyaksikan sendiri pelbagai usaha-usaha untuk melestarikan budaya Melayu.

Sebagai contoh, penubuhan kumpulan tarian Beztari oleh Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu di Universiti Teknologi Nanyang (PERBAYU NTU) sejak dua tahun lalu menunjukkan masih ada anak-anak Muda berbangsa Melayu yang mahu memperjuangkan budaya mereka dalam masyarakat kosmopolitan Singapura ini. Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Beztari telah mengorak langkah untuk memperkenalkan budaya Melayu menerusi tarian tradisional dan kontemporari kepada warga berbilang negara di kampus. Selain itu, Beztari juga telah mengembangkan sayapnya dengan menerima tawaran membuat persembahan di acara-acara yang tidak semestinya bercorak kemelayuan. Ini menunjukkan kesungguhan kumpulan tahun ini, walaupun masih setahun jagung lagi, untuk melestarikan budaya Melayu menerusi persembahan tarian yang asli dan dinamik.

Mentelah lagi, Beztari akan menempah nama di persada dunia apabila dipilih untuk mempersembahkan untuk temasya Sukan Olimpik Belia (YOG) yang akan dipancarkan ke seantero dunia. Inilah yang dikatakan, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Golongan pelapis inilah yang dialu-alukan!

Beztari merupakan antara banyak pertubuhan seni tari yang aktif dalam persada seni tari Singapura dan usaha mereka dalam pelestarian budaya melayu ini sedikit sebanyak telah menarik minat warga muda di negara ini untuk mendekati warisan bangsa yang patut dibanggakan.
















Gambar ihsan Muhammad Hariz

-Bumi Aman-


Jul 3, 2010

Selamat Datang ke blog saya.
Saya masih sedang fikirkan tentang bahan yang akan dibicarakan dalam blog ini yang seiring dengan tema.
Terima kasih kerana sudi mengunjung. Jangan lupa kembali untuk membaca bahan-bahan atau bicara budaya yang menarik dalam masa terdekat ini.
- Bumi Aman -




MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com