Jul 4, 2010

Kecil-kecil Cili Padi

Harum sungguh si Bunga Tanjung,
Kembang segar di halaman,
Bahasa kujunjung budaya kusanjung
Agar mekar sepanjang zaman.

Salam ukhwah!

Dewasa ini, saya rasakan bahawa ramai anak muda yang kurang mendalami nilai sebenar budaya bangsa Melayu. Tak orang tak kita. Saya sendiri kadangkala lebih mengetahui tentang budaya bangsa lain terutamanya budaya Barat daripada budaya saya sendiri. Maklumlah, kini kita lebih terdedah kepada pengaruh daripada media-media barat yang menonjolkan budaya mereka.

Oleh itu, usaha gigih untuk melestarikan budaya Melayu perlu ditabik, terutama sekali pada masyarakat muda bangsa Melayu di Singapura ini. Tidak mudah untuk mendapatkan perhatian dan penyertaan mereka dalam kegiatan-kegiatan bercorak kebudayaan. Selama perjalanan saya bersama pertubuhan-pertubuhan bahasa dan budaya Melayu, saya telah menyaksikan sendiri pelbagai usaha-usaha untuk melestarikan budaya Melayu.

Sebagai contoh, penubuhan kumpulan tarian Beztari oleh Persatuan Bahasa dan Budaya Melayu di Universiti Teknologi Nanyang (PERBAYU NTU) sejak dua tahun lalu menunjukkan masih ada anak-anak Muda berbangsa Melayu yang mahu memperjuangkan budaya mereka dalam masyarakat kosmopolitan Singapura ini. Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Beztari telah mengorak langkah untuk memperkenalkan budaya Melayu menerusi tarian tradisional dan kontemporari kepada warga berbilang negara di kampus. Selain itu, Beztari juga telah mengembangkan sayapnya dengan menerima tawaran membuat persembahan di acara-acara yang tidak semestinya bercorak kemelayuan. Ini menunjukkan kesungguhan kumpulan tahun ini, walaupun masih setahun jagung lagi, untuk melestarikan budaya Melayu menerusi persembahan tarian yang asli dan dinamik.

Mentelah lagi, Beztari akan menempah nama di persada dunia apabila dipilih untuk mempersembahkan untuk temasya Sukan Olimpik Belia (YOG) yang akan dipancarkan ke seantero dunia. Inilah yang dikatakan, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Golongan pelapis inilah yang dialu-alukan!

Beztari merupakan antara banyak pertubuhan seni tari yang aktif dalam persada seni tari Singapura dan usaha mereka dalam pelestarian budaya melayu ini sedikit sebanyak telah menarik minat warga muda di negara ini untuk mendekati warisan bangsa yang patut dibanggakan.
















Gambar ihsan Muhammad Hariz

-Bumi Aman-


0 comments:

Post a Comment