Jul 26, 2010

Pantun Kita Bahagian I

Apa ada pada lagu,
Kalau bukan iramanya,
Apa dia bangsa Melayu,
Kalau bukan budayanya.

Salam Sejahtera!

Beberapa minggu yang lalu, saya ada terdengar pendita kita, Cikgu Muhammad Ariff Ahmad, berkata dalam suatu simposium bahasa bagi guru-guru Melayu Singapura yang disiarkan berita Suria mengatakan perlunya kita melestarikan pantun-pantun Melayu dalam pengajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah agar tidak terhakis nilai budayanya. Jelasnya lagi, ini bagi menarik lebih banyak minat daripada pelajar-pelajar yang belajar bahasa Melayu walaupun mereka bukan berbangsa Melayu.


Saya amati usulan pendita kita itu dan mendapati bahawa perlunya kita melestarikan budaya berpantun masyarakat Melayu kita kerana ia mencerminkan keunikan budaya bahasa kita yang membezakan budaya Melayu daripada budaya masyarakat etnik yang lain.

Lantaran itu, pelbagai usaha perlu diperhebatkan agar budaya berpantun orang Melayu tidak pupus dek ditelan masa. Peraduan-peraduan mencipta pantun dan berbalas pantun telah pun diadakan setiap tahun oleh institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Pesta Pantun yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Dan Budaya Melayu Universiti Kebangsaan Singapura (PBMUKS). Pertandingan-pertandingan sedemikian rupa perlu diperluaskan lagi dan melibatkan lebih ramai lagi pelajar-pelajar serta para karyawan.

Bersambung...

0 comments:

Post a Comment